KAWASAKI Ninja ZX-25R SE, 'RR' Dikemaskini Di Seberang, Harga Mula RM 35.6k, Malaysia Tak Lama Lagi?
TERKINI
9/4/20241 min read


KAWASAKI Motor Indonesia mengemaskini penawarannya dalam segmen 'Sportbike' suku liter popular, Kawasaki Ninja ZX-25R (2025) termasuk dua versi teratas SE dan 'RR' yang turut dijual di Malaysia menggunakan lencana Modenas.
Begitupun jangan terlalu teruja, kemas kini yang dilakukan tidak membabitkan sebarang perubahan spesifikasi namun hanya kosmetik iaitu pilihan warna dan corak grafik baharu yang dikatakan lebih menarik.
Untuk varian Kawasaki Ninja ZX-25R SE (2025), pilihan warna yang ditawarkan adalah Metallic Matte Gray/Metallic Flat Spark Black.
Harga jualan yang diumumkan adalah Rp. 127.1 juta (RM 35,662).
Untuk varian teratas Kawasaki Ninja ZX-25RR (2025), pilihan warna yang diperkenalkan adalah Lime Green KRT Edition.
Harga jualan yang diumumkan adalah Rp. 133.5 juta (RM 37,439).
Seperti dinyatakan, tiada perubahan membabitkan spesifikasi mekanikal termasuk trenkuasa dengan kedua-duanya dipadankan dengan enjin 249.8 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 45 Hp pada 15,500 rpm dan tork 21 Nm pada 13,000 rpm.
Sebagai perbezaan antara Kawasaki Ninja ZX-25RR dan SE, varian tertinggi RR dilengkapi dengan suspensi belakang Horizontal Back-link serta BFRC Lite Gas dengan ciri pelarasan penuh (Compression, Rebound, Preload).
Manakala Kawasaki ZX-25R SE pula dipadankan dengan suspensi belakang jenis 'Horizontal Back-link, gas-charged shock' dengan pelarasan 'preload spring'.
Dengan status sebagai jentera suku liter paling berprestasi di pasaran ketika ini, kedua-dua model dipadankan dengan teknologi canggih yang kebiasaan tidak dimiliki pencabar lain dalam kelasnya seperti Power mode, Assist & Slipper clutch, Quick shifter dan Kawasaki Traction Control (KTRC).
Selain itu, ia turut datang dengan 3 mod tunggangan, panel meter skrin TFT lengkap dengan sambungan Bluetooth melalui aplikasi Rideologynya.
Di pasaran Malaysia, Modenas Ninja ZX-25R SE diperkenalkan pada September tahun lalu dan diperkenalkan bersama harga RM 33,900 (asas) manakala Modenas Ninja ZX-25RR (2024) tiba pada Mac tahun ini bersama harga asas RM 36,500.
Setakat ini, tiada perkembangan sama ada kedua-dua model ini terutama Modenas Ninja ZX-25R SE akan mendapat kemas kini terbaharu sama seperti di seberang namun jika ya, ia pasti mengujakan.




